Home Melaka DUN MELAKA DIJANGKA DIBUBAR PETANG INI?

DUN MELAKA DIJANGKA DIBUBAR PETANG INI?

123
0

MELAKA, 22 Sept — Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka dibubarkan petang ini bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus menamatkan teka-teki mengenai tarikh pembubaran yang menjadi perhatian sejak beberapa minggu lalu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dijangka membuat pengumuman berhubung perkara itu selepas selesai Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Mesyuarat Post-Exco yang berlangsung hari ini.

Menurut laporan media yang memetik sumber, Mesyuarat Exco dijadualkan pada jam 12 tengah hari sebelum disusuli Mesyuarat Post-Exco sekitar jam 2 petang.

Satu sidang media pula dijangka berlangsung sekitar jam 3 petang bagi memaklumkan perkembangan terkini berkaitan kedudukan DUN Melaka.

Spekulasi pembubaran semakin kuat selepas mesyuarat Exco yang lazimnya diadakan pada hari Rabu dipercepatkan kepada hari ini, Selasa.

Kesemua 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) juga dilaporkan dipanggil hadir ke Seri Negeri pada jam 2.30 petang.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, belum terdapat pengesahan rasmi daripada Pejabat Ketua Menteri Melaka berhubung pembubaran DUN berkenaan.

Pada 17 September lalu, Ab Rauf memaklumkan bahawa tarikh pembubaran DUN masih belum ditetapkan kerana kerajaan negeri mempunyai beberapa urusan pentadbiran yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

DUN Melaka mempunyai keseluruhan 28 kerusi. Pada PRN lalu, BN memenangi 21 kerusi, Pakatan Harapan (PH) lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Sekiranya pembubaran DUN diumumkan petang ini, perhatian seterusnya akan beralih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menetapkan tarikh-tarikh penting PRN Melaka.

MELAKA REPORT
Adil dan Seimbang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here