Home Komuniti 1,037 Motosikal Meriahkan Konvoi Pemuda AG 3.0, Bukti Semangat Anak Muda Terus...

1,037 Motosikal Meriahkan Konvoi Pemuda AG 3.0, Bukti Semangat Anak Muda Terus Membara

246
0

‘Bukan Sekadar Ride, Ini Cerita Kita’ satukan lebih seribu penunggang, semarak semangat kebersamaan dan aspirasi Melaka Maju Jaya

ALOR GAJAH, 5 Julai – Lebih 1,000 penunggang motosikal membanjiri Dataran Keris Alor Gajah seawal jam 8.00 pagi hari ini bagi menyertai Konvoi Pemuda AG 3.0 “Bukan Sekadar Ride, Ini Cerita Kita” Luncurrrr, sekali gus mencatat penyertaan tertinggi sejak program itu diperkenalkan tiga tahun lalu.

Program anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah yang diketuai oleh Amirul Basiron berjaya menghimpunkan 1,037 buah motosikal daripada pelbagai kelab dan komuniti permotoran. Konvoi bergerak dari Dataran Keris Alor Gajah melalui Machap Baru, Kelubi, Seri Negeri Ayer Keroh, Sungai Udang dan Padang Kemunting sebelum berakhir di Dataran Pantai Tanjung Bidara.

Perjalanan konvoi berlangsung dalam keadaan teratur dan lancar hasil kawalan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia bersama pasukan marshal yang mengiringi peserta di sepanjang laluan, sekali gus memastikan keselamatan semua penunggang dan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

Konvoi yang memasuki edisi ketiga ini bukan sekadar menghimpunkan peminat motosikal, malah membawa mesej lebih besar sebagai lambang kebangkitan, kekuatan serta iltizam anak muda Alor Gajah untuk terus bergerak seiring aspirasi pembangunan Kerajaan Negeri Melaka. Program itu turut menjadi wadah memperkukuhkan ukhuwah, mengeratkan hubungan masyarakat serta menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka. Turut hadir memeriahkan program ialah YB Datuk Muhammad Akmal Saleh, Ketua Pemuda UMNO Maysia, YB datuk Haji Fairul Nizam Roslan, Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, YB Datuk Ngwe Hee Sem, ADUN Machap Jaya, YB Datuk V. P. Shanmugam, ADUN Gadek, YB Senator Datuk Mustafa Musa serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian Alor Gajah.

Selain menjadi medan perhimpunan komuniti permotoran, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan nombor bertuah yang menawarkan lebih 300 hadiah dengan hadiah utama sebuah motosikal Yamaha 125Z. Suasana turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan Yassin Senario, Kecik Hyper Act dan Rifkarl & The Typezone, selain pertandingan Best Scooter, Best Classic/Vintage, Best Original, Best Clean Bike, Best Stylish Rider (Lelaki dan Perempuan) serta Best Lady Biker.

Mengulas kejayaan penganjuran tersebut, Amirul Basiron berkata beliau amat bersyukur apabila penyertaan pada tahun ini berjaya melepasi sasaran dengan lebih 1,000 buah motosikal mengambil bahagian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin yang hadir memberikan sokongan, jawatankuasa penganjur yang bertungkus-lumus menjayakan program, para penaja serta seluruh peserta yang terus memberikan kepercayaan kepada Konvoi Pemuda AG sehingga berjaya memasuki penganjuran tahun ketiga.

Menurut beliau, kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuk menganjurkan Konvoi Pemuda AG 4.0 pada tahun hadapan dengan pengisian yang lebih besar, lebih tersusun dan lebih meriah, di samping menambah baik setiap kelemahan bagi memastikan program itu terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh komuniti permotoran dan anak muda di negeri ini.

“Bukan Sekadar Ride, Ini Cerita Kita” bukan lagi sekadar slogan, sebaliknya telah berkembang menjadi simbol perpaduan, persahabatan dan semangat anak muda Alor Gajah dalam membina komuniti yang lebih erat serta menyokong pembangunan negeri secara positif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here