JENGKA, 6 Julai – Kampung Hutan Percha, Alor Gajah, Melaka mengharumkan nama negeri apabila muncul Naib Johan Anugerah Utama Aspirasi Desa MADANI (ADM) Peringkat Kebangsaan 2025 pada Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 dan Hari Peneroka FELDA 2026 yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.
Kejayaan itu membolehkan Kampung Hutan Percha membawa pulang hadiah wang tunai RM70,000 berserta trofi selepas melalui proses penilaian yang ketat bersama 13 lagi kampung johan negeri dari seluruh negara.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Johan Anugerah Utama Aspirasi Desa MADANI Peringkat Kebangsaan 2025 dimenangi Kampung Desa Murni, Kerdau, Temerloh, Pahang yang menerima hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi, manakala tempat ketiga menjadi milik Uma Daro, Belaga, Sarawak yang membawa pulang RM50,000 berserta trofi.
Anugerah Aspirasi Desa MADANI merupakan platform pengiktirafan tertinggi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada komuniti desa yang cemerlang dalam aspek tadbir urus, kepimpinan, pembangunan ekonomi setempat serta kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata pembangunan luar bandar kini perlu dipacu melalui pengukuhan modal insan, kepimpinan komuniti, inovasi, pendigitalan dan penyertaan aktif masyarakat, bukan hanya tertumpu kepada pembangunan prasarana fizikal.
Beliau berkata, anugerah itu menjadi platform strategik untuk mengiktiraf komuniti yang berjaya menterjemahkan nilai-nilai Malaysia MADANI menerusi tadbir urus yang berkesan dan pembangunan komuniti yang mampan.
Anugerah Aspirasi Desa MADANI Peringkat Kebangsaan merupakan kesinambungan kepada pertandingan peringkat negeri tahun 2024 yang menghimpunkan 14 kampung johan negeri untuk dinilai di peringkat kebangsaan.
Penilaian dilaksanakan selama tiga bulan melibatkan panel hakim daripada pelbagai kementerian dan jabatan berdasarkan lima komponen utama iaitu Audit Pengurusan, Bahas MADANI, Pengucapan Awam, IPPK Unggul dan Video Kreatif.
Kejayaan Kampung Hutan Percha membuktikan kemampuan komuniti luar bandar di Melaka untuk bersaing di peringkat tertinggi negara, sekali gus menjadi inspirasi kepada kampung-kampung lain dalam memperkukuhkan tadbir urus, kepimpinan dan pembangunan komuniti yang mampan.






