Home Bisnes Pelaburan Weststar di LTAM Pacu Melaka Jadi Hab Penerbangan Bertaraf Antarabangsa

Pelaburan Weststar di LTAM Pacu Melaka Jadi Hab Penerbangan Bertaraf Antarabangsa

89
0

MELAKA, 10 Jun – Kerajaan Negeri Melaka terus memperkukuh agenda pembangunan sektor aeroangkasa apabila mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi cadangan pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan (Aviation Excellence Hub) di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam.

Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata, pelaburan strategik oleh Weststar Aviation Sdn. Bhd. itu berpotensi menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi baharu negeri yang lebih mampan dan berdaya saing.

Menurut beliau, mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat The Weststar Group di Ampang, Selangor itu turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Syed Azman Syed Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Saiful Hazwa Kipli serta Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Mohd Yusof Abu Bakar.

“Kerajaan Negeri Melaka kekal komited untuk memastikan pelaburan strategik ini dapat direalisasikan dengan jayanya demi memperkukuhkan ekosistem industri penerbangan negeri,” katanya.

Beliau menjelaskan, antara komponen utama yang dicadangkan dalam pembangunan Aviation Excellence Hub LTAM ialah Pusat Latihan Penerbangan Helikopter, Hab Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) Helikopter serta Hab Logistik Helikopter.

Katanya, pembangunan itu bakal menjadikan LTAM sebagai pusat kecemerlangan penerbangan bertaraf antarabangsa sekali gus mengangkat Melaka sebagai destinasi pelaburan berimpak tinggi dalam sektor aeroangkasa dan penerbangan.

Selain merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, projek berkenaan dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak-anak Melaka serta memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi penerbangan.

“Pelaburan ini akan membantu melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan selaras dengan tekad Kerajaan Negeri untuk memacu kemajuan Melaka dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

– Melaka Report

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here