DURIAN TUNGGAL, 9 Jun – Beberapa isu berkaitan sistem saliran dan keperluan penyelenggaraan infrastruktur di Kampung Gangsa bakal diberi perhatian menerusi tindakan susulan yang akan dilaksanakan oleh agensi berkaitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Zahari Kalil telah mengadakan lawatan tapak bagi meninjau beberapa cadangan serta keperluan kerja penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur di kawasan tersebut pada Selasa.
Antara lokasi yang dilawati ialah kawasan tali air di Jalan Keretapi Lama Gangsa yang memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan serta longkang di Jalan Mat Amin, Kampung Gangsa yang dicadangkan untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kecekapan sistem saliran.

Menurut Zahari, lawatan itu penting bagi menilai keadaan semasa di lapangan selain mengenal pasti tindakan yang perlu diambil bagi mengurangkan masalah saliran, mengelakkan limpahan air ketika hujan lebat serta memastikan keselesaan penduduk setempat.
“Hasil lawatan dan perbincangan bersama agensi berkaitan, tindakan susulan bagi kerja-kerja yang dicadangkan akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG) mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang hadir dan memberikan komitmen dalam usaha mencari penyelesaian terbaik bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Katanya, segala perkara yang dibangkitkan akan terus dipantau dan disusuli dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan kerja dapat dilakukan dengan berkesan demi kesejahteraan penduduk Kampung Gangsa.






