Home Melaka Rafizi Yakin Sambutan BERSAMA Di Melaka Memberangsangkan

Rafizi Yakin Sambutan BERSAMA Di Melaka Memberangsangkan

38
0

AYER KEROH, 7 Jun – Parti Bersama dijangka memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi di Melaka menjelang Ogos ini selepas selesai meneliti data penerimaan pengundi di seluruh negara, termasuk di negeri tersebut.

Pengasas Bersama, Rafizi Ramli berkata, fokus utama parti ketika ini adalah menghadapi pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan, manakala proses mengenal pasti kerusi di Melaka masih berjalan.

Menurut beliau, parti itu bercadang mengumumkan calon lebih awal, namun perancangan tersebut sedikit terjejas susulan perkembangan politik semasa di Johor dan Negeri Sembilan.

“Menjelang awal Ogos, kita dijangka sudah mempunyai gambaran yang lebih jelas mengenai kerusi yang akan ditandingi di Melaka. Kita perlukan sedikit masa lagi untuk meneliti tahap penerimaan pengundi sebelum membuat keputusan,” katanya dalam sidang media selepas program Bersama di Melaka.

Rafizi turut menegaskan bahawa Bersama akan terus bergerak secara solo dan tidak bercadang mengadakan rundingan politik dengan mana-mana parti.

Katanya, pendirian itu selaras dengan matlamat penubuhan Bersama yang mahu menawarkan alternatif politik baharu tanpa terikat dengan mana-mana gabungan sedia ada.

“Kita memang akan bertanding sendiri. Tujuan Bersama ditubuhkan adalah untuk memberi ruang kepada pendekatan politik yang bebas dan tidak terikat dengan pendirian parti lain,” katanya.

Mengulas sambutan terhadap parti itu di Melaka, Rafizi mengakui jumlah keahlian mungkin tidak sebesar negeri-negeri lain seperti Selangor, Johor atau Sabah kerana faktor saiz negeri, namun beliau menyifatkan kehadiran penyokong pada program parti sebagai sesuatu yang memberangsangkan.

Dalam perkembangan lain, beliau mendakwa Bersama mula mendapat perhatian dalam kalangan penjawat awam termasuk pegawai kanan kerajaan, khususnya di Putrajaya. Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan terdapat kelompok pengundi yang sedang mencari alternatif politik baharu merentasi kaum dan latar belakang.

Rafizi turut berpandangan bahawa masa depan mana-mana parti politik bergantung kepada keupayaan menarik sokongan generasi muda, khususnya Gen Z dan milenial, yang disifatkannya semakin kritikal terhadap landskap politik semasa.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kekuatan sebenar Bersama hanya dapat diukur apabila parti itu mula berdepan pilihan raya dan memperoleh maklum balas terus daripada pengundi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here