Home Nasional Onn Hafiz Nafi Dakwaan Istana “Arah” Pembubaran DUN Johor, UMNO Johor Akan...

Onn Hafiz Nafi Dakwaan Istana “Arah” Pembubaran DUN Johor, UMNO Johor Akan Buat Laporan Polis

99
0

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau pernah memaklumkan kononnya pihak Istana telah “mengarahkan” pembubaran Dewan Negeri Johor.

Onn Hafiz berkata, penjelasan yang diberikan sebelum ini adalah bahawa pembubaran Dewan Negeri Johor dibuat selepas mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Menurut beliau, Menteri Besar tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Negeri secara sesuka hati kerana proses tersebut perlu mengikut peruntukan undang-undang dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.

“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.

“Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyifatkan tindakan memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sebagai sesuatu yang tidak bertanggungjawab kerana boleh mewujudkan persepsi seolah-olah Institusi Diraja mencampuri urusan serta keputusan politik UMNO Johor.

Onn Hafiz berkata, setiap individu mempunyai hak untuk meninggalkan UMNO atau berbeza pandangan dengan kepimpinan parti, namun kenyataan yang menyentuh Institusi Diraja adalah perkara serius dan perlu ditangani dengan berhati-hati.

“Kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

Beliau dalam masa sama menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here