KEMAS Melaka terus komited dalam memperkasakan ekonomi masyarakat tempatan melalui pelbagai inisiatif latihan kemahiran berimpak tinggi. Antara usaha terbaharu yang telah dijalankan adalah penganjuran Kursus Jangka Pendek (KKJP) yang memfokuskan kepada Bidang Masakan dan Teknologi Retort. Program ini direka khas bagi memberi nilai tambah kepada kemahiran peserta dalam menghasilkan produk makanan komersial yang berkualiti tinggi dan tahan lama.

Penyertaan dalam kursus ini melibatkan anak-anak Melaka yang bersemangat tinggi untuk menceburi bidang keusahawanan makanan. Kehadiran mereka mencerminkan kesungguhan generasi muda di negeri ini untuk mencari peluang baharu serta meningkatkan taraf hidup melalui perniagaan berasaskan produk makanan siap niaga.

Sepanjang hari pertama kursus, para peserta telah mendedahkan diri mereka dengan teknik penyediaan produk berasaskan komersial. Fokus utama pembelajaran pada hari tersebut adalah cara-cara membuat pes asam pedas yang asli serta pes char kuey teow yang lazat dan menepati citarasa pasaran semasa.


Modul pembelajaran pada hari pertama bukan sekadar mengenali resepi semata-mata, malah ia turut mendedahkan peserta dengan strategi bagaimana untuk berniaga menerusi penghasilan pes makanan. Peserta dididik mengenai aspek kualiti, keseragaman rasa, dan potensi pasaran produk pes yang kini mendapat permintaan tinggi daripada pengguna sibuk.
Memasuki hari kedua, suasana pembelajaran menjadi lebih menarik apabila peserta mula mendedahkan diri kepada proses pembuatan menggunakan teknologi retort. Sesi ini amat dinantikan kerana ia mendedahkan mereka kepada teknik pembungkusan moden yang mampu mengubah landskap perniagaan makanan konvensional kepada skala yang lebih luas.

Konsep retort terbukti banyak membuka peluang perniagaan baharu kepada usahawan kecil dan sederhana (IKS). Melalui kaedah ini, produk makanan dapat dipasarkan dengan lebih jauh tanpa kebimbangan mengenai jangka hayat produk yang pendek atau masalah kualiti semasa penghantaran.
Dari segi teknikal, retort merupakan satu proses moden bagi menyimpan makanan tanpa perlu risau makanan atau minuman tersebut rosak. Teknologi pensterilan haba ini membolehkan makanan siap dimakan bertahan lama pada suhu bilik tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet kimia berbahaya.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil kursus telah disempurnakan dengan jayanya oleh Penolong Pengarah Kanan (Pendidikan Komuniti dan Kemahiran) KEMAS Melaka, Puan Jasriwati Ibrahim. Kehadiran beliau menyerikan lagi program serta memberi suntikan semangat kepada semua peserta yang hadir.




Di samping menyempurnakan penyampaian sijil, Puan Jasriwati turut menyampaikan pelbagai perkongsian penting. Banyak perkara berfaedah yang dikongsikan oleh beliau berkaitan dengan inisiatif dan program-program lain yang dianjurkan oleh pihak Jabatan KEMAS Negeri Melaka demi kebaikan komuniti setempat.

Bagi masyarakat yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai kursus menarik yang ditawarkan oleh pihak KEMAS, anda di alu-alukan untuk melayari laman Facebook rasmi mereka di akaun KEMAS MELAKA OFFICIAL bagi mendapatkan maklumat terkini.






