MUAR, 2 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atau lebih dikenali sebagai Tok Rauf, mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) Melaka yang berkampung di Muar bagi memperkukuhkan gerak kerja kempen calon Barisan Nasional N15 DUN Maharani, Dato’ Ashari Md. Sharif.

Kehadiran Tok Rauf bersama kepimpinan serta jentera BN Melaka menjadi manifestasi komitmen berterusan parti dalam membantu jentera tempatan mendekati pengundi, di samping memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera menjelang hari pengundian.
Semasa sesi Sembang Santai Bersama PDM Parit Unas yang berlangsung di Warong Atok, Tok Rauf menegaskan bahawa kekuatan sebenar Barisan Nasional sentiasa bermula di peringkat akar umbi melalui pendekatan turun padang bagi mendengar sendiri denyut nadi rakyat. Menurut beliau, hubungan rapat dengan masyarakat merupakan asas yang terus menjadi kekuatan perjuangan Barisan Nasional sejak sekian lama.

Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh jentera agar menguasai medan media sosial sebagai medium komunikasi yang berkesan bagi menyampaikan mesej perjuangan parti kepada setiap lapisan masyarakat. Katanya, penggunaan media sosial secara strategik mampu melengkapkan gerak kerja di lapangan dalam memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada rakyat.
Pada program itu, Tok Rauf turut menegaskan bahawa budaya Barisan Nasional adalah sentiasa setia mendekati rakyat serta terus berkhidmat tanpa mengenal jemu. Beliau berkata, Barisan Nasional bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya merupakan wadah perjuangan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, di samping membawa agenda pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan untuk semua.







