Suasana penuh kemeriahan dan kegembiraan jelas terpancar apabila warga Parlimen Alor Gajah menerima rezeki musim durian hasil inisiatif Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh (Tok Rauf), yang berkongsi Raja Buah bersama masyarakat. Program bermula di Pekan Durian Tunggal, sebelum diteruskan ke Pasar Menggong, Rembia, seterusnya ke Kompleks JAPERUN Gadek bagi memastikan lebih ramai penduduk berpeluang menikmati keenakan durian secara percuma.

Jelajah tersebut tidak terhenti di situ apabila skuad Tok Rauf meneruskan agihan ke Kompleks JAPERUN Machap Jaya sebelum menutup tirai di Tapak Pasar Malam Batang Melaka, dalam kawasan DUN Asahan. Di setiap lokasi, kehadiran masyarakat daripada pelbagai lapisan umur dan kaum menyerlahkan semangat perpaduan serta kemesraan yang menjadi identiti rakyat Melaka.

Sebanyak 1 tan durian pelbagai varieti telah dibawa oleh skuad Tok Rauf untuk dikongsikan bersama seluruh warga Parlimen Alor Gajah. Inisiatif ini memberi tumpuan khusus kepada golongan B40, agar mereka turut dapat menikmati kemeriahan musim durian bersama seisi keluarga tanpa mengira latar belakang. Senyuman dan kegembiraan yang terpancar jelas membuktikan bahawa nikmat rezeki akan lebih bermakna apabila dikongsi bersama.

Program ini turut mencerminkan semangat “Melaka Sayang Rakyat”, di mana setiap rezeki dikongsi demi kebahagiaan rakyat. Malah, kedengaran khabar bahawa Tok Rauf bercadang meneruskan siri jamuan durian ini ke beberapa lokasi lain di seluruh negeri. Sudah pasti berita tersebut disambut baik oleh masyarakat yang menantikan peluang untuk bersama-sama menikmati Raja Buah pada musim kali ini.

Semoga usaha murni seperti ini terus mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat. Didoakan agar Negeri Melaka terus maju dan berjaya, rakyatnya sentiasa hidup dalam suasana aman, makmur serta bahagia, dan Melaka terus gah di mata dunia sebagai sebuah negeri yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat.






