Tahukah anda?
Ramai individu hanya menyedari mereka menghidap penyakit buah pinggang apabila keadaan sudah berada pada tahap serius dan memerlukan rawatan dialisis. Penyakit buah pinggang sering digelar sebagai “pembunuh senyap” kerana kebanyakan pesakit tidak mengalami sebarang gejala sehingga lebih 90% fungsi buah pinggang telah rosak.
Akibatnya, ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit telah mencapai peringkat akhir dan memerlukan rawatan yang lebih kompleks serta kos yang tinggi. Di Malaysia, dianggarkan 1 daripada 7 orang dewasa menghidap Penyakit Buah Pinggang Kronik (“Chronic Kidney Disease” atau CKD).
Setiap tahun, hampir 9,500 kes baharu yang memerlukan rawatan dialisis direkodkan. Pada masa ini, lebih 40,000 pesakit sedang menjalani rawatan dialisis dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada lebih 106,000 pesakit menjelang tahun 2040 sekiranya trend semasa tidak berubah. Lebih membimbangkan, kira-kira 30% pesakit baharu yang memerlukan dialisis terdiri daripada golongan berusia bawah 45 tahun.
Malaysia juga merupakan antara negara yang mencatatkan kadar Penyakit Buah Pinggang Peringkat Akhir (End-Stage Renal Disease atau ESRD) tertinggi di dunia. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 65% kes ESRD baharu berpunca daripada diabetes, menjadikan penyakit ini faktor risiko utama kegagalan buah pinggang dalam negara. Di Melaka, situasi ini turut membimbangkan. Sebanyak 123,468 pesakit diabetes direkodkan dalam tempoh 2015 hingga 2025, dengan purata sekitar 6,000 kes baharu setiap tahun.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, Melaka merupakan negeri kedua tertinggi mencatatkan prevalens diabetes di Malaysia. Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan risiko komplikasi serius seperti penyakit jantung, strok dan kegagalan buah pinggang dalam kalangan penduduk negeri ini.
Hakikatnya, jumlah pesakit yang memerlukan dialisis meningkat dari tahun ke tahun. Di Malaysia, pertambahan pesakit yang memerlukan rawatan dialisis berlaku lebih pantas berbanding peningkatan kemudahan rawatan yang tersedia. Oleh itu, pencegahan dan pengesanan awal merupakan langkah paling berkesan untuk mengurangkan komplikasi, menyelamatkan nyawa serta mengurangkan beban kewangan terhadap individu, keluarga dan sistem kesihatan negara.
Sumber Rujukan :
1. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
National Action Plan for Healthy Kidneys (ACT-KID) 2018–2025.
2. Saminathan, T.A., Hooi, L.S., Yusoff, M.F.M., et al.
Prevalence of Chronic Kidney Disease and Its Associated Factors in Malaysia: Findings from a Nationwide Population-Based Cross-Sectional Study.
BMC Nephrology, 2020.
3. National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023.
Key Findings: National Health and Morbidity Survey 2023.
Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia.






