Dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri Johor, setiap ucapan, kenyataan, video, poster dan hantaran di media sosial membawa pengaruh yang besar kepada masyarakat. Persaingan politik sememangnya lumrah dalam demokrasi, namun Islam menetapkan bahawa kemenangan tidak boleh dicapai dengan mengorbankan nilai kebenaran, amanah dan akhlak.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”
Riwayat al-Tirmizi (2314)
Hadis ini memberi amaran bahawa satu ucapan yang dianggap kecil boleh membawa dosa yang besar apabila ia mengandungi pembohongan, fitnah, tuduhan tanpa bukti, penghinaan, hasutan atau penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya. Dalam musim pilihan raya, keadaan ini menjadi lebih mencabar kerana pelbagai dakwaan, video yang dipotong, gambar yang dimanipulasi dan kenyataan di luar konteks mudah tersebar dengan pantas melalui media sosial. Laporan media sejak bermulanya kempen PRN Johor juga menunjukkan kebimbangan terhadap penggunaan naratif yang boleh mencetuskan kebencian dan perpecahan dalam masyarakat.
Bagi calon dan jentera politik, hadis ini mengajar bahawa setiap ceramah dan kenyataan hendaklah berasaskan fakta serta disampaikan dengan penuh tanggungjawab. Kritikan terhadap pihak lawan dibenarkan dalam ruang demokrasi, namun ia mestilah berasaskan bukti dan dasar, bukan fitnah atau serangan terhadap maruah seseorang. Matlamat untuk memenangi pilihan raya tidak pernah menghalalkan penyebaran berita yang tidak benar.
Bagi pengundi pula, hadis ini menjadi peringatan agar tidak menjadi penyebar kepada berita yang belum dipastikan kesahihannya. Setiap butang “kongsi”, “forward” atau “repost” turut membawa tanggungjawab moral dan agama. Sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu dakwaan, semaklah sumbernya, teliti faktanya dan pastikan ia benar-benar sahih.
Akhirnya, pilihan raya akan berakhir dan keputusan akan diumumkan. Namun setiap perkataan yang diucapkan, setiap tulisan yang diterbitkan dan setiap berita yang disebarkan akan terus menjadi catatan yang dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Oleh itu, marilah kita menjadikan kempen pilihan raya sebagai medan untuk berlumba menawarkan idea, khidmat dan penyelesaian kepada rakyat, bukannya medan menyemarakkan kebencian atau menyebarkan perkara yang tidak benar.
“Salam Jumaat Penuh Barokah”





