PANTAI KUNDOR, 20 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memanfaatkan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor dengan membuka kaunter perkhidmatan bagi mempromosikan 13 perkhidmatan Baitulmal kepada orang ramai.
Kaunter yang beroperasi selama dua hari di Pentas Budaya Pantai Puteri itu menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk khidmat kiraan fidyah, faraid, kaffarah, Tabung Amal Jariah Negeri Melaka (TAJM), wakaf, semakan bantuan agihan zakat serta urusan berkaitan hal ehwal Islam.

Menurut MAIM, penyertaan dalam program itu bertujuan mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat di samping memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat secara terus daripada pegawai bertugas.
Program WRUR DUN Pantai Kundor berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat.






