Home Bisnes MELAKA TERUS JADI DESTINASI PELABURAN PILIHAN

MELAKA TERUS JADI DESTINASI PELABURAN PILIHAN

77
0

Melaka terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing apabila berjaya menghimpunkan lebih 350 peserta terdiri daripada pelabur, wakil syarikat, pengamal pasaran dan pemimpin perniagaan menerusi penganjuran RHB–Bursa Malaysia Retail Corporate Day 2026. Program yang berlangsung pada 8 Ogos 2026 di DoubleTree by Hilton, Melaka itu menjadi platform penting untuk mempertemukan syarikat, pelabur, institusi kewangan serta Bursa Malaysia dalam usaha memperluaskan peluang perniagaan dan pelaburan di negeri bersejarah ini.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Perbankan RHB dan Bursa Malaysia Berhad atas inisiatif membawa program berkenaan ke Melaka. Menurut beliau, kekuatan utama pertemuan itu terletak pada kerjasama antara syarikat yang mahu berkembang, pelabur yang mencari peluang, institusi kewangan yang menyediakan sokongan serta Bursa Malaysia yang membuka laluan kepada pasaran lebih luas.

Melaka juga dilihat mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk terus menarik pelaburan. Kedudukan strategik negeri ini sejak dahulu sebagai pusat perdagangan yang menghubungkan Timur dan Barat melalui Selat Melaka menjadi antara kekuatan yang terus diwarisi hingga hari ini. Kerajaan negeri mahu semangat tersebut diteruskan dengan menarik lebih banyak pelaburan, teknologi, kepakaran, idea dan modal bagi memacu pertumbuhan ekonomi Melaka ke tahap yang lebih tinggi.

Prestasi ekonomi Melaka turut menunjukkan perkembangan positif. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat sebanyak tiga peratus kepada RM50.2 bilion pada tahun 2025 berbanding RM48.8 bilion pada tahun 2024. Lebih membanggakan, Melaka merekodkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM14.68 bilion pada 2025, iaitu pencapaian tertinggi negeri dalam tempoh lebih dua dekad. Namun, kerajaan negeri menegaskan bahawa angka tersebut bukan sekadar untuk dibanggakan, sebaliknya perlu menjadi asas bagi membuka lebih banyak peluang dan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati rakyat.

Dalam masa yang sama, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh syarikat tempatan. Setiap pelaburan yang dibawa masuk ke Melaka perlu memberikan limpahan ekonomi yang lebih luas, termasuk membuka peluang kepada vendor dan syarikat tempatan serta mewujudkan pekerjaan berkualiti. Syarikat tempatan pula perlu meningkatkan kapasiti, memperkukuh pengurusan dan bersedia merebut peluang dalam rantaian ekonomi yang semakin berkembang.

Usaha memperkasa syarikat tempatan turut melibatkan ekosistem kerajaan negeri sendiri. Melaka kini mempunyai 13 agensi, 47 anak syarikat aktif serta empat Syarikat Menurut Jaminan yang bergerak dalam pelbagai sektor ekonomi. Daripada kekuatan tersebut, dua syarikat sedang dipersiapkan untuk menuju penyenaraian di Bursa Malaysia, iaitu Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. yang menyasarkan IPO seawal suku pertama 2028 dan Syarikat Air Melaka Berhad yang menyasarkan langkah sama seawal suku pertama 2029.

Kehadiran RHB dan Bursa Malaysia juga dilihat penting dalam membantu syarikat Melaka berkembang ke peringkat lebih tinggi. Syarikat bukan sahaja memerlukan peluang, tetapi turut memerlukan akses kepada pembiayaan, pasaran, jaringan serta bimbingan yang tepat. Setakat ini, sebanyak RM485 juta pembiayaan telah disalurkan oleh RHB kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Melaka bagi menyokong operasi serta perkembangan perniagaan. Selain itu, sebanyak 34 syarikat dari Melaka telah berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia, membuktikan kemampuan syarikat negeri ini untuk berkembang ke pentas yang lebih besar.

Kerajaan Negeri Melaka berharap lebih banyak syarikat tempatan berani melihat Bursa Malaysia sebagai satu peluang yang mampu dicapai sekiranya mempunyai asas perniagaan yang kukuh dan prestasi yang baik. Di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat, kerajaan negeri akan terus menjadi pemudah cara dalam menghubungkan syarikat tempatan dengan rakan strategik, akses pembiayaan dan peluang pelaburan. RHB–Bursa Malaysia Retail Corporate Day 2026 diharapkan menjadi pencetus kepada lebih banyak kejayaan, lebih banyak syarikat Melaka menembusi pasaran antarabangsa dan akhirnya lebih banyak nama dari Melaka berdiri megah di Bursa Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here