Kemeriahan Karnival Anak Muda Negeri Melaka terus dirasai pada Sabtu, 5 September 2026 apabila pelbagai program dan aktiviti menarik diteruskan di sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), sekali gus menjadikan kawasan berkenaan sebagai tumpuan orang ramai sejak awal hari.


Melaka seolah-olah tidak mengenal istilah berehat apabila pelbagai pengisian disusun secara berterusan bagi memastikan rakyat, khususnya golongan muda, dapat menikmati program yang bukan sahaja menghiburkan malah memberi manfaat kepada pembangunan diri dan komuniti.


Antara program yang berlangsung ialah Himpunan Ibu Muda Negeri Melaka dan Kursus Pra Perkahwinan Orang Muda Negeri Melaka yang memberikan ruang kepada golongan muda mendapatkan pendedahan serta pengetahuan berkaitan kehidupan berkeluarga dan persediaan menghadapi alam perkahwinan.


Pada masa sama, Townhall Orang Muda Negeri Melaka turut menjadi antara acara utama yang mendapat perhatian apabila golongan muda diberikan peluang untuk berinteraksi secara langsung bersama Ketua Menteri Melaka. Selain itu, pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi turut diadakan termasuk pertandingan Muaythai, E-Sport, Futsal tiga sebelah dan Bola Jaring tiga sebelah.



Tidak ketinggalan, pengunjung turut disajikan dengan persembahan robotik daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), yang memperlihatkan elemen teknologi dan inovasi sebagai sebahagian daripada pengisian karnival untuk mendekatkan generasi muda dengan perkembangan bidang berteknologi tinggi.
Dalam Program Townhall Orang Muda Negeri Melaka, Ketua Menteri Melaka turut meluangkan masa bertemu secara bersemuka dengan golongan muda. Sambutan yang diterima di luar jangka itu memperlihatkan keterujaan anak muda untuk hadir dan mengambil bahagian dalam sesi interaksi bersama kepimpinan negeri.

Lebih menarik, sesi townhall tersebut membuka ruang kepada peserta untuk menyuarakan hasrat, pandangan dan persoalan secara terus kepada Ketua Menteri. Peluang berkomunikasi secara terbuka itu membolehkan peserta menerima jawapan secara langsung, sekali gus mewujudkan suasana dialog yang lebih dekat dan terbuka antara kerajaan negeri dengan generasi muda.
Dalam sesi sama, Ketua Menteri turut berkongsi penerangan berkaitan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI), termasuk kepentingannya dalam menghadapi perubahan teknologi semasa. Perkongsian tersebut turut disusuli dengan penerangan mengenai hala tuju Melaka dalam memperkukuh sektor perindustrian agar terus relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa hadapan.
Kemeriahan di MITC turut diserikan dengan penganjuran program Jom Heboh yang berlangsung seiring dengan siri program Karnival Anak Muda. Gabungan pelbagai acara tersebut menjadikan kawasan sekitar MITC terus dipenuhi aktiviti dan kunjungan orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Keseluruhannya, penganjuran Karnival Anak Muda Negeri Melaka memperlihatkan pendekatan kerajaan negeri dalam menyediakan program yang dirangka secara khusus untuk rakyat Melaka, dengan memberi penekanan kepada aspek pembangunan anak muda, kekeluargaan, sukan, teknologi, hiburan dan interaksi bersama kepimpinan.
Melalui kepelbagaian pengisian yang disediakan, karnival ini bukan sekadar sebuah acara hiburan, sebaliknya menjadi platform untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat serta menyediakan ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama menikmati program yang bersifat inklusif. Semangat tersebut selari dengan aspirasi “Melaka Sayang Rakyat”, yang menzahirkan komitmen untuk memastikan rakyat terus menjadi keutamaan dalam setiap agenda pembangunan negeri.






