Bermula sekadar hobi menternak 50 ekor itik pada tahun 2018, usaha gigih Mohd Shafie bin Md Isa kini berkembang menjadi sebuah perusahaan yang berjaya menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Mohs Shafie yang mengusahakan ladang di Kampung Baru Bukit Sedanan kini memiliki kira-kira 3,000 ekor itik penelur dengan pengeluaran sekitar 2,500 biji telur setiap hari. Perniagaan yang diusahakannya meliputi pembekalan telur itik mentah, telur asin serta pelbagai produk berasaskan telur itik.
Menurut beliau, antara keistimewaan produk Telur Asin Bukit Sedanan ialah kaedah penghasilanya yang lebih menitikberatkan aspek kebersihan dan kualiti berbanding kaedah tradisional. Telur yang dikutip akan dicuci sehingga bersih sebelum dikeringkan dan diperam menggunakan air garam yang dimasak mengikut tempoh tertentu berdasarkan permintaan pelanggan.
Perusahaan itu kini mampu menghasilkan antara 40,000 hingga 50,000 biji telur itik sebulan. Bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat, Mohd Shafie turut mendapatkan bekalan telur daripada penternak lain.
Selain telur asin, beliau turut menghasilkan produk nilai tambah seperti kunig telur asin dan serbuk telur asin yang mendapat permintaan daripada industri makanan.
Produk keluaran Telur Asin Bukit Sedanan kini dipasarkan di seluruh Melaka serta beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur. Ia turut dijual melalui rangkaian pasar raya Rosyam Mart selain kedai runcit, restoran, pasar awam dan pasar tani.
Kejayaan perusahaan tersebut turut mendapat pengiktirafan apabila Mohd Shafie menerima Anugerah Penternak Jaya Harapan Negeri Melaka 2023 serta Anugerah Peningkatan Jualan menerusi Agrobang Upward Migration Program 2025.
Pencapaian itu membuktikan bidang penternakan mampu menjadi sumber ekonomi yang mampan apabila diusahakan secara serius, selain menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan untuk menceburi sektor agromakanan.






