BANDAR HILIR, 31 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir secara rasminya membuka tirai hari ini dengan pelbagai pengisian yang memberi fokus kepada usaha mendekati masyarakat serta menyelesaikan isu-isu rakyat secara berkesan.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Fairul Nizam Roslan, yang hadir mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Program yang berlangsung bermula hari ini sehingga 6 Jun 2026 itu dianjurkan oleh ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen, bersama jawatankuasa pelaksana serta pelbagai agensi kerajaan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong; EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Seah Shoo Chin; serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong.
Dalam ucapannya, penghargaan turut dizahirkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, agensi-agensi kerajaan serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.
WRUR merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Melaka yang bertujuan mendekati rakyat di peringkat akar umbi melalui pelbagai program kemasyarakatan, selain menjadi platform bagi mengenal pasti dan menyelesaikan isu-isu setempat secara lebih tersusun dan berkesan.
Program yang berlangsung selama seminggu itu diharapkan dapat mencapai objektif yang ditetapkan serta memperkukuhkan hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat setempat demi kesejahteraan rakyat.
“Melaka Sayang Rakyat.”






