MELAKA, 14 Julai – DAP Melaka mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Kerajaan Negeri Melaka selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan pelaksanaan ADUN lantikan.
Dalam sidang media selepas persidangan DUN, kepimpinan DAP Melaka menegaskan keputusan itu dibuat atas prinsip demokrasi kerana parti tersebut menolak pelaksanaan ADUN lantikan yang disifatkan bercanggah dengan semangat pilihan raya.
Menurut mereka, semua wakil rakyat Pakatan Harapan di Melaka, termasuk EXCO daripada DAP, mengundi menolak rang undang-undang berkenaan.
“DAP berpendirian bahawa wakil rakyat perlu dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya, bukannya dilantik. Sekiranya kerajaan memerlukan kepakaran profesional, mereka boleh dilantik sebagai penasihat dan bukannya sebagai ADUN lantikan yang mempunyai hak mengundi dalam Dewan,” kata mereka.
Susulan keputusan itu, DAP memaklumkan semua pemegang jawatan dalam pentadbiran negeri daripada parti berkenaan akan melepaskan jawatan masing-masing, termasuk seorang EXCO, dua Timbalan EXCO, Timbalan Speaker DUN serta ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan yang dilantik kerajaan negeri. Bagaimanapun, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP kekal sebagai wakil rakyat dan akan berperanan sebagai pembangkang di dalam DUN.
DAP turut menjelaskan bahawa pendirian tersebut adalah konsisten dengan sikap parti sebelum ini di beberapa negeri lain yang turut membentangkan usul ADUN lantikan.
Mereka menafikan keputusan itu mempunyai kaitan dengan perkembangan politik semasa atau pilihan raya negeri, sebaliknya menegaskan ia telah diputuskan lebih awal dan dimaklumkan kepada Ketua Menteri sebelum rang undang-undang itu diluluskan.
Menurut DAP, sebaik sahaja rang undang-undang tersebut diluluskan, parti itu melaksanakan keputusan untuk keluar daripada kerajaan negeri sebagai tanda konsisten terhadap prinsip yang diperjuangkan.






