KUALA LUMPUR, 10 Jun – UMNO menegaskan komitmennya untuk terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia sehingga Pilihan Raya Umum akan datang, namun pada masa sama mengekalkan hak parti untuk menentukan hala tuju politiknya dalam mana-mana pilihan raya negeri.
Ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia yang berlangsung pada Rabu, menurut kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam kenyataan tersebut, UMNO menegaskan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 atas titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 akan diteruskan sehingga tamat penggal kerajaan semasa.
Bagaimanapun, MKT UMNO berpandangan bahawa Kerajaan Negeri Johor yang dibentuk sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan Malaysia tidak melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH), sekali gus menjadikan perjanjian pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan tidak mengikat kerajaan negeri.
Sehubungan itu, UMNO menegaskan parti berhak menentukan pendirian dan hala tuju politiknya menjelang mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal diadakan mengikut penetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
MKT UMNO turut menolak dakwaan bahawa keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat negeri merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap Kerajaan Persekutuan.
Menurut kenyataan itu, tindakan mempertahankan mandat negeri adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan dengan memberikan ruang kepada rakyat menentukan pilihan mereka.
Dalam pada itu, UMNO menyatakan keterbukaan untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak demi memastikan kestabilan politik negara serta kesejahteraan rakyat.
Namun, parti itu menegaskan sebarang bentuk kerjasama politik perlu berasaskan prinsip keikhlasan dan kepercayaan bagi menjamin hubungan yang kukuh serta memberi manfaat kepada negara.
– Melaka Report






