SERI NEGERI – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dengan jumlah maksimum tidak melebihi tujuh orang.
Usul berkenaan dibentangkan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebelum dibahaskan oleh beberapa wakil rakyat.
Keputusan undian menyaksikan 23 ADUN menyokong, manakala lima ADUN membantah usul tersebut, sekali gus meluluskan pindaan berkenaan.
Ketua Menteri menjelaskan langkah memperkenalkan ADUN lantikan bukan bertujuan mengetepikan proses demokrasi, sebaliknya memberi ruang kepada penyertaan lebih luas dalam DUN Melaka termasuk golongan profesional, wakil komuniti minoriti serta individu berkemahiran dalam bidang tertentu.
Beliau berkata, penyertaan ADUN lantikan dapat memperkayakan perbahasan dan membantu kerajaan negeri mendapatkan pandangan kepakaran yang lebih pelbagai dalam proses menggubal dasar serta membuat keputusan berkaitan kepentingan rakyat.
Dalam sidang itu, Ketua Pembangkang Melaka merangkap ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub turut menyokong pindaan berkenaan. Antara ADUN yang mengambil bahagian dalam perbahasan ialah Dr Mohd Yadzil, ADUN Rim Khaidhirah Abu Zahar dan ADUN Kelebang Lim Bang Hong.
Sebelum ini, cadangan pindaan tersebut mencetuskan bantahan daripada DAP Melaka yang menyatakan pendirian untuk keluar daripada kerajaan negeri sebagai tanda tidak bersetuju dengan cadangan pelantikan ADUN lantikan.
Dengan kelulusan pindaan ini, DUN Melaka kini mempunyai ruang perundangan untuk melantik sehingga tujuh ADUN lantikan bagi memperluaskan penyertaan dan kepelbagaian suara dalam Dewan Undangan Negeri.






