Home Komuniti Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati Kukuh Hubungan Masyarakat dan Badan Beruniform

Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati Kukuh Hubungan Masyarakat dan Badan Beruniform

172
0

Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 berjaya melabuhkan tirai selepas berlangsung selama dua minggu dengan penyertaan lebih 6,000 peserta. Penganjuran edisi kedua kejohanan berkenaan mencatat perkembangan yang amat memberangsangkan, sekali gus membuktikan sambutan positif daripada masyarakat serta badan-badan beruniform.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh berkata, penganjuran kejohanan tersebut bukan sekadar memberi ruang kepada peserta untuk bersaing dalam bidang sukan, malah mempunyai matlamat lebih besar dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat, Tentera Darat Malaysia, agensi keselamatan, pasukan penyelamat serta seluruh badan beruniform.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Melaka mahu kejohanan itu menjadi medan yang mampu menyatukan semua pihak tanpa mengira perbezaan pasukan, agensi, uniform mahupun warna jersi. Kesemua pihak disatukan menerusi satu semangat dan matlamat yang sama, iaitu memberikan perkhidmatan terbaik demi rakyat dan negeri Melaka.

Penganjuran sukan tersebut turut dilihat sebagai platform penting dalam membina hubungan lebih erat antara masyarakat dengan anggota keselamatan dan badan beruniform. Melalui aktiviti sukan secara bersama, semangat kerjasama, perpaduan dan persefahaman dapat diperkukuhkan dalam suasana yang lebih santai serta harmoni.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Melaka turut memberi perhatian terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota pasukan keselamatan, penyelamat serta badan beruniform. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan kerja-kerja segera membaik pulih paip air dan jalan-jalan yang rosak di Kem Terendak serta Kem Sungai Udang.

Selain peruntukan berkenaan, melalui Syarikat Air Melaka Berhad, Kerajaan Negeri turut bersetuju menyediakan tangki-tangki air untuk ditempatkan di kawasan kritikal yang berisiko mengalami gangguan atau ketiadaan bekalan air. Langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan serta kebajikan warga beruniform yang berkhidmat di negeri ini.

Ketua Menteri menegaskan bahawa selagi beliau diberikan amanah untuk memimpin negeri Melaka, kebajikan warga beruniform akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh kerjasama, mendengar keperluan mereka serta berdiri bersama anggota yang selama ini melaksanakan amanah melindungi rakyat.

Kejayaan penganjuran Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 diharap dapat diteruskan sebagai wadah mempererat hubungan antara rakyat dan warga beruniform. Dengan semangat kebersamaan serta komitmen yang berterusan, penganjuran tersebut bukan sahaja menyemarakkan kegiatan sukan, malah memperkukuh hubungan dan kerjasama demi rakyat dan negeri Melaka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here