ASAHAN – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan bakal menikmati liputan pencahayaan yang lebih baik hasil usaha berterusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan, YB Fairul Nizam Roslan, atau lebih mesra disapa YB Along, demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Dalam perkembangan terbaharu, YB Along bersama kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka telah turun padang sehingga lewat malam bagi memuktamadkan 68 lokasi strategik untuk pemasangan lampu solar di sekitar DUN Asahan. Langkah turun padang ini penting bagi memastikan setiap unit lampu dipasang di kawasan yang benar-benar memerlukan, terutamanya di laluan utama dan titik berisiko.

Beliau memaklumkan bahawa inisiatif ini merupakan salah satu bentuk komitmen berterusan Kerajaan Negeri Melaka di bawah teraju Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bersama JKR Negeri Melaka. Usaha sama ini bermatlamat untuk menjadikan seluruh kawasan DUN Asahan lebih selamat, terang, dan sejahtera buat semua lapisan masyarakat.
Mengulas lanjut, YB Along turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan YAB Ketua Menteri serta komitmen padu pihak JKR Negeri Melaka. Beliau menegaskan bahawa kerja-kerja penyediaan kemudahan awam dan penjagaan kebajikan rakyat, khususnya di DUN Asahan, akan terus dilaksanakan secara berterusan tanpa henti demi kemakmuran bersama.






